"Beramallah kamu untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya, dan beramallah kamu untuk Akhiratmu, seolah-olah kamu akan mati esok"
چاريله كبنرن دڠن جالن برفيكير،جاڠنله اندا سڤرتي اورڠ بوتا يڠ مڠيكوت تونتونن اورڠ. كراڬوان ايتله يڠ داڤت مڽمڤأيكن كڤد كبنرن، سسياڤا يڠ تيدق راڬو،مك دي تيدق برفيكير، سسياڤا يڠ تيدق برفيكير مك دي تيدق وسڤادا. بارڠ سياڤا يڠ تيدق وسڤادا مك دي تتڤ بوتا دان ترسست. رينوڠيله واهاي انسان

DeNgaN MeNgInGaTi AllaH HaTiKaN TeNaNg...




Pengikut

Selasa, 14 Jun 2011

BOHONG SUNAT: DICIPTA OLEH ORANG YANG SUKA BERBOHONG

Bohong atau dalam bahasa Arab disebut al-kazib, ialah menyatakan sesuatu perkara yang hakikatnya tidak benar. Termasuk dalam kategori berbohong ialah perbuatan orang yang tidak menepati janji dan orang yang berniat jahat untuk tidak mahu menunaikannya.

Perbuatan berbohong amat buruk sekali kesannya kepada kehidupan manusia. Perbuatan itu boleh merosakkan akhlak dan menghancurkan nilai-nilai murni hubungan sesama manusia. Malah akibat berbohong boleh mencetuskan permusuhan dan tindakan keganasan di pihak lain yang teraniaya.

Oleh sebab itu, Islam amat melarang amalan berbohong  sesama manusia. Berbohong merupakan perbuatan terkutuk yang dilaknat Allah bahkan termasuk dalam dosa besar. Jadi, sebelum perbuatan itu menjadi amalan, hindarilah dengan bertaubat.

Walau bagaimanapun, mereka yang sering berbohong, bahkan menjadi budaya, sukar diselamatkan. Mereka ini dikategorikan sebagai orang munafik iaitu mengaku beriman, tetapi tidak dengan sepenuh hati. Mereka sering berbohong sedangkan mereka tahu larangannya.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga sifatnya, iaitu apabila berjanji tidak ditunaikan, apabila bercakap dia berdusta, dan apabila diberi amanah dia khianati” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sehubungan itu, sesiapa yang berbohong memberi makna bahawa keimanannya masih tidak sempurna biarpun dirinya mengaku beriman kepada Allah. Berbohong yang diucapkan oleh lidah itu telah menghakis keimanannya. Sebaliknya, mereka yang benar-benar beriman akan melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan segala yang dilarang.

Supaya merealisasikan keimanan itu, orang yang beriman tidak mahu berbohong. Pada masa yang sama, lidah digunakan sebaiknya dalam mengatur kata-kata. Jika tidak, pasti dia akan diam berdasarkan saranan Rasulullah s.a.w.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepda Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain antaranya bermaksud: “Tidak akan lurus iman seseorang hamba, sehingga lurus pula hatinya, dan tidak akan lurus hatinya sehinggalah lurus lidahnya. Dan seseorang hamba tidak akan masuk syurga selagi tetangganya belum aman daripada kejahatan lidahnya” (Riwayat Ibnu Adid-Dunya). 

Jadi, sebagai orang yang beriman, jauhkanlah diri daripada kejahatan lidah, mengeluarkan kata-kata dusta. Firman Allah yang bermaksud: “Jauhkanlah perkataan-perkataan dusta” (surah al-haj: 30)

Berdasarkan ketegasan larangan berbohong itu, maka tidak benar dakwaan sesetengah orang bahawa ada “bohong sunat”. Masakan Allah s.w.t. boleh memberi pahala kepada orang yang berbohong sedangkan terdapat larangan yang begitu tegas.

Jadi, mereka yang menyebut bohong sunat itu seolah-olah mahu “menghalalkan” perbuatan berbohong. Padahal pembohongan disenaraikan sebagai perbuatan terkutuk dan dosa besar.

Walau bagaimanapun, berbohong kerana terpaksa demi menyelamatkan nyawa dan maruah, dibenarkan dalam kadar yang munasabah. Namun, kebenaran ini bersifat sementara dalam tempoh yang terhad. 

Berbohong dalam keadaan itu dihukumkan harus, bukan sunat seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
Oleh hal yang demikian, setiap orang tidak wajar berbohong hanya dengan alasan bohong sunat. Berhati-hatilah daripada terjebak dalam perangkap ini. Ingatlah, berbohong selain batas yang dibenarkan di atas akan memutuskan hubungan sesama manusia kerana orang yang menjadi magsanya pasti akan memusuhinya. Yang pastinya orang yang gemar menipu akan semakin tidak disukai orang lain.

Manakala di akhirat, orang yang berbohong mendapat penyeksaan di dalam neraka. Sabda Rasullulah yang bermaksud: “Tiada melangkah kedua kaki saksi palsu pada hari kiamat nanti, sehinggalah api neraka membakarnya” (Riwayat Ibnu Majah dan Hakim)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails